We're family afterall

Refleksi Iman

Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah dalam siri Happy Circle II yang lepas, telah dibincangkan persoalan iman dan ketakwaan, bagaimana ketakwaan mempunyai kaitan rapat dengan keimanan manusia yang sentiasa naik dan turun.

InsyaAllah semua Muslim mempunyai pengetahuan berkaitan dengan rukun-rukun Iman. Menjadi tanggungjawab setiap daripada kita untuk menghayati intipati rukun-rukun yang telah digariskan oleh Islam ini dan seterusnya mengamalkan dalam segala aspek kehidupan seharian.

Dalam kita menilai atau muhasabah diri, terdapat beberapa garis panduan yang boleh menjadi alat bantu dalam kita memastikan keimanan kita selaku muslim berada di dalam landasan yang betul. InsyaAllah kita boleh jadikan sebagai senarai semak kehidupan mudah-mudahan Iman yang kita miliki iman yang sahih dan membuahkan amalan yang dijanjikan ganjaran besar oleh Allah SWT.

1. Cepat menyahut seruan Allah SWT

Menurut Syed Qutb, ianya adalah tindakan yang memenuhi fitrah yang bersih bagi memenuhi seruan dakwah yang haq dan lurus.Terdapat indikasi kejujuran, kelapangan, kobaran semangat, pengetahuan yang benar dan satu sambutan cetusan kalbu yang hebat atas kebenaran yang nyata.

Lalu bagaimana nak kita dapatkan ciri pertama ini, untuk kita hayati dalam kehidupan kita?

Ianya tak lain adalah dari makrifah yang sahih tentang adanya Allah sebagai Rabb dan Illah kita. Natijah dari makrifah yang sahih tadi, akan timbul mahabbah yang sangat dalam terhadap Allah. Dan makin tinggi mahabbah seseorang pada Allah, makin cepat dia menyambut seruan, kerana mahabbah melahirkan ketaatan. Sebagaimana cinta kasih kita pada kekasih, sedaya mungkin kehendaknya dipenuhi.

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Ali Imran:31)

2. Gementar hati terhadap Allah.

Seperti yang termaktub dalam Al Quran, Surah Al Anfal : 2

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

Natijah dari perasaan gementar ini membawa kita menjauh dan menyelamatkan diri dari kemaksiatan kepada Allah. Merasai ‘ihsan’ Allah atas kita di mana saja kita berada, dan akhirnya kita sentiasa berwaspada dan berhati-hati takut melanggar perintah Allah swt.

Benarlah hadis Rasulullah saw yang bermaksud;

“Sesungguhnya orang mukmin itu melihat dosanya seolah-olah batu besar terhempap atas kepalanya, manakala orang yang fasik itu melihat dosanya seperti seekor lalat yang hinggap atas hidungnya, lalu dihalau lalat itu.”

3.  Tawakkal kepada Allah.

Tawakkal adalah puncak kepasrahan dan penyerahan segala urusan kepada Allah swt. Tawakkal ini hanya dapat diperolehi setelah adanya tsiqah (kepercayaan) dan rasa ketergantungan kepada Allah.

Perlu diingatkan juga bahwa, ini bukan beerti kita tinggalkan ikhtiar, kerana ikhtiar adalah menifestasi ketaatan kepada Allah, manakala tawakkal itu berada di hati, iaitu iman kepada Allah. contoh unggul boleh diambil dari kisah Siti Hajar ditinggalkan Nabi Ibrahim a.s di Mekah, bila katanya;

“ Adakah Allah memerintahkan kamu tinggalkan kami di sini?”
“ Ya”, jawab Nabi Ibrahim a.s.
“ kalau begitu, Dia tidak akan mensia-siakan kami.”

4. Besertakan amal soleh.

Di dalam Al Quran, lebih dari 50 tempat membicarakan
hubungan iman dengan amal soleh, antaranya dalam
Surah At Tin : 6.

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.

Kerana keimanan menghasilkan amalan. Dan merupakan satu pendustaanjika keimanan tak menghasilkan amalan, dan bukanlah dikira sebagai amal soleh bila tidak dilandaskan kepada keimanan. sesungguhnya,

‘iman itu berkurang dan bertambah, bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan kemaksiatan’.

5. Mencintai Mukmin (Ukhuwah fillah)

Dalam Islam, batas ukhuwah adalah seluas wilayah aqidah. Sahabat bersaudara kerana Allah dan bermusuh kerana Allah. Persaudaraan dalam Islam bukanlah sesuatu yang dibuat-buat atau dipaksa. Ianya datang dari Allah jua. dalam Surah Ali Imran:103,

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya. (103)

Ini bermakna, tabiat ukhuwah adalah hasil dari iltizam pada tali deen Allah swt. Tiada ukhuwah tanpa iman dan iman pasti akan menumbuhkan ukhuwah. Begitu banyak kisah-kisah para sahabat yang mendahulukan sahabat lain dari diri dan keluarga mereka sendiri, dan boleh menjadi cermin bagi kita mengukur tahap dan semangat ukhuwah diri sendiri.

Ada banyak lagi garis panduan lain dalam kita merefleksi diri kita. Sesungguhnya amalan seharian kita adalah cermin nyata keimanan dalam diri kita.

“Aku ni nampak je tak tutup aurat, tapi iman aku boleh tahan jugak tau”

Ayat sebegini sudah tidak relevan jika kita faham benar apa pendefinisian iman dari perspektif seorang Muslim. Jadik sama-sama kita tingkat amalan, mudah-mudahan, iman kita meningkat sama dengan peningkatan amal kita.

Wallahua’lam.

Credits: meenkadir.wordpress.com, Happy Circle II

Leave a comment